Walaupun Kuala Lumpur sudah layak ke Liga Super musim depan, perjuangan mereka masih belum selesai kerana mahu bergelar juara Liga Perdana musim ini.

Jurulatihnya, Fabio Magrao, yang menjadi antara tunjang di sebalik kejayaan Kuala Lumpur kembali ke liga utama itu, masih belum berpuas hati dengan apa mereka kecapi setakat ini.

Sebaliknya, beliau mahu Kuala Lumpur menutup jalan cerita mereka musim ini dengan penuh gemilang, iaitu memenangi aksi terakhir -- berdepan Johor Darul Ta'zim II (JDTII) di Pasir Gudang -- untuk menjulang trofi Liga Perdana.

Namun, beliau tidak menafikan pemain berhak meraikan kejayaan buat seketika setelah mempamerkan aksi cemerlang sepanjang tahun ini.

"Saya tahu perlawanan itu (menentang JDT II) akan sukar tetapi mereka tahu tanggungjawab mereka. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Kini kami perlu berehat -- sudah tentu meraikan kejayaan layak ke Liga Super.

"Tetapi kami akan kembali berlatih untuk memburu gelaran Liga Perdana," katanya selepas menewaskan Sabah 2-0 di Stadium Selayang, semalam.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Adnan Mohd Ikhsan, menjadi individu paling gembira di sebalik kejayaan skuad warga kota itu setelah kecewa musim lalu.

Baginya, ini merupakan satu permulaan buat Kuala Lumpur untuk muncul antara pasukan yang mampu memberi cabaran di pentas Liga Malaysia pada masa akan datang.

"Sebenarnya, kami menempa sejarah baru selepas lebih kurang 14 tahun kami tidak berada di persada Liga Super.

"Kami pernah berada di sana pada 2012/2013, itu pun mengisi kekosongan yang ada. Jadi, ini adalah satu petanda yang baik untuk warga kota," katanya.