Nasib penjaga gol UKM FC, Khatul Annuar Md Jalil, bersama pasukan The Varsity Boys tahun depan masih samar biarpun tampil dengan aksi memberangsangkan musim ini.

Khatul Annuar merupakan pemain pinjaman daripada Kuala Lumpur sejak awal musim ini selepas menyedari tempatnya untuk merebut posisi utama dalam skuad Warga Kota agak sukar.

Langkah itu berbaloi apabila pemain berumur 22 tahun itu tampil antara watak penting yang membantu skuad kendalian Sulaiman Hussin itu mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran sebelum tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) II menerusi penentuan sepakan penalti.

Kekecewaannya sedikit terubat setelah terpilih sebagai pemain terbaik perlawanan, Sabtu lalu.

"Saya sangat puas dan lebih manis lagi, kami dapat langkah ke final.

"Tetapi tiada rezeki kami untuk menjulang trofi tetapi saya sangat berpuas hati dan ingin berterima kasih kepada jurulatih yang memberi peluang kepada saya.

"Saya membuat keputusan untuk menyertai UKM pada 1 Januari lalu kerana ingin mendapatkan minit permainan," katanya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Khatul Annuar, bagaimanapun, tidak dapat memberi kata putus sama ada akan terus bersama UKM atau sebaliknya memandangkan dia perlu kembali melaporkan diri kepada majikan asal, Kuala Lumpur, sejurus tamat saingan itu.

Bagaimanapun, dia secara peribadi tidak kisah untuk beraksi dengan mana-mana pasukan kerana keutamaannya adalah aksi di atas padang.

"Tempoh pinjaman saya di UKM akan berakhir bulan ini dan perlu pulang ke pangkuan Kuala Lumpur.

"Tengoklah bagaimana keadaannya selepas ini," katanya lagi.