Kerajaan Terengganu tolak ambil alih TCFC

Oleh Tengku Danish Bahri 16 November 2018 177
Kerajaan Terengganu tolak ambil alih TCFC
Hasrat Terengganu City (TCFC) untuk beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) menemui jalan buntu selepas Kerajaan Negeri Terengganu menolak untuk mengambil alih pengurusan pasukan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata komitmen kewangan menjadi faktor mereka tidak berhasrat memenuhi harapan pemain dan pegawai TCFC.

Enggan TCFC berkubur susulan kejayaan menjuarai Piala FAM serta melayakkan diri ke Liga Perdana, langkah terbaik diharap mampu dicapai demi kebaikan semua pihak.

"Untuk mengambil alih pasukan baru, pastinya menambah komitmen Kerajaan Negeri dalam pengurusan kewangan.

"Saya difahamkan masalah utama berkaitan gaji sudah diselesaikan TCFC. Malah, ada kumpulan menyatakan berminat menjadi penaja. Tunggu saja mereka yang umumkan," jelasnya.

Walaupun berdepan masalah, Wan Sukairi melabel penubuhan awal TCFC wajar dijadikan contoh apabila dimulakan sebagai kelab dan bukannya daripada bantuan Kerajaan Negeri.

Barisan pemain dan pegawai TCFC sebelum ini membuat laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas pihak pengurusan gagal menjelaskan gaji sejak enam bulan lalu.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen