Kembali ke Liga Super misi utama Kelantan -- Norizam

Oleh Ammar Hakim 6 September 2020 3699
Kembali ke Liga Super misi utama Kelantan -- Norizam
Kembali layak ke kancah Liga Super untuk musim depan -- itu menjadi misi utama pemilik baru pasukan The Red Warriors, Norizam Tukiman. 

Usahawan dan pakar pelaburan, Norizam Tukiman, sah mengambil alih 100 peratus saham syarikat Team The Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd., anak syarikat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), berkuat kuasa hari ini.

Norizam berkata beliau telah mengeluarkan  perbelanjaan RM6.8 juta bagi memiliki syarikat Team TRW Sdn Bhd yang menguruskan pasukan Kelantan FC bersaing pada saingan Liga Perdana ketika ini.

"Saya telah memberikan sasaran buat pemain dan jurulatih. Kelantan sekurang-kurangnya dapat melayakkan diri kembali ke Liga Super. Saya telah berkorban untuk pasukan dan baki lima perlawanan selepas ini, Kelantan perlu mengelak daripada kehilangan mata dan memastikan kembali ke Liga Super," kata Norizam.

Norizam membayar RM3 juta dalam bentuk pembelian saham dan turut mendahulukan sejumlah RM3.8 juta lagi untuk KAFA menyelesaikan segala hutang sedia ada.

Ia bukan calang-calang angka, nilainya begitu tinggi dan sudah pasti Norizam menuntut pulangan yang setimpal dengan pelaburanya yang dilakukan.

Pujian harus diberikan kepada beliau kerana sanggup mengambil The Red Warriors pada ketika pasukan itu dipalit dengan pelbagai isu. Mungkin tidak ramai yang seberani Norizam untuk mengambil langkah ini.

Beliau menegaskan tidak teragak-agak menyingkirkan mana-mana individu yang menjadi liabiliti dan beban kepada kelab.

Kesemua pemain akan dinilai secara adil berdasarkan prestasi mereka pada penghujung musim musim nanti.

"Mungkin saya akan membuat pertukaran dalam pasukan ini. Saya mungkin melepaskan beberapa pemain. Sebab pemain-pemain perlu memberikan prestasi terbaik jika tidak, buat apa kelab menyimpan pemain seperti ini. Mereka memiliki gaji yang lumayan jadi mereka perlu memberikan persembahan terbaik."

Sementara itu, pemain Kelantan, Wan Zaharulnizam Zakaria, lega apabila masalah tunggakan gaji pasukan Kelantan berjaya diatasi, dengan adanya pemilik baru yang secara tidak langsung memberikan tonik terbaik untuk menghadapi baki saingan Liga Perdana.

"Lega selepas tunggakan gaji selesai. Kami sangat bersyukur kerana pemilik baru sedia menyelesaikan masalah yang dihadapi sebelum ini," katanya.
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen