Kelantan United yakin beri saingan dalam Liga Perdana

Oleh Farizal Yusoff 6 November 2019 62
Kelantan United yakin beri saingan dalam Liga Perdana
Selepas menjuarai Liga M3, Kelantan United FC (KUFC) melaungkan keazaman mahu menjadi pencabar utama dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, yakin kemenangan bersejarah itu pasti meningkatkan semangat semua pihak untuk memastikan kehadiran mereka bukan sekadar melengkapkan penyertaan.

"Alhamdulillah, berkat semangat dan doa semua pihak, KUFC berjaya mencipta sejarah menjulang piala yang pertama kali diperkenalkan oleh FAM.

"Saya melihat penyertaan kami dalam saingan Liga Perdana  musim depan disambut dengan suasana yang cukup positif.

"Dua pasukan dari Kelantan (Kelantan FA dan Kelantan United FC) akan bersaing antara satu sama lain bagi membuktikan kemampuan sendiri," katanya kepada media selepas meraikan kepulangan skuad KUFC dari Kuala Lumpur.

Che Abdullah yang juga ahli Parlimen Tumpat berkata pihaknya terus mengharapkan sokongan padu daripada penyokong setia untuk mengharungi cabaran yang lebih sengit.

"Anda (media) boleh lihat bagaimana sokongan padu yang diberikan kepada KUFC biarpun aksi terakhir itu dilangsungkan pada hari bekerja.

"Saya yakin sokongan ini akan berterusan dan memberi keuntungan kepada kedua-dua pasukan untuk menjulang nama Kelantan," tambahnya.

Dalam aksi terakhir malam tadi, KUFC yang sudahpun mengesahkan kejuaraan liga terikat 2-2 dengan Armed Forces FC  di Stadium KLFA, Cheras.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen