Kelantan FC kini milik Norizam

Oleh Ammar Hakim 3 September 2020 1455
Kelantan FC kini milik Norizam
Usahawan dan pakar pelaburan, Norizam Tukiman, sah mengambil alih 100 peratus saham syarikat Team The Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd., anak syarikat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), berkuat kuasa hari ini.

Norizam berkata beliau telah mengeluarkan  perbelanjaan RM6.8 juta bagi memiliki syarikat Team TRW Sdn Bhd yang menguruskan pasukan Kelantan FC bersaing pada saingan Liga Perdana ketika ini.

"Saya membeli saham syarikat ini sebanyak RM3 juta dan tambahan RM3.8 juta untuk KAFA selesaikan hutang sedia ada...jumlah keseluruhan perbelanjaan RM6.8 juta dan lebih daripada jumlah itu kami tidak tanggung.

"Saya tidak melihat keuntungan hari ini namun melihat keuntungan dalam jangka masa panjang tiga atau lima tahun akan datang," katanya pada sidang media selepas Majlis Penswastaan Kelab Bola Sepak TRW Kelantan FC.

Dalam majlis tersebut, Presiden KAFA, Datuk Shaari Mat Hussin, menyaksikan upacara menandatangani penyerahan pemilikan syarikat team TRW kepada Norizam oleh timbalan presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah.

Norizam berkata perkara pertama yang akan diberikan tumpuan ialah berkaitan isu pemilikan lesen kelab dengan memastikan hutang dan denda yang dikenakan sebelum ini diselesaikan selain daripada kemudahan latihan.

"Saya juga mempunyai perancangan berusaha untuk mendaftarkan syarikat TRW Sdn.Bhd dalam pasaran saham Malaysia (bursa) bagi menggerakkan pasukan Kelantan FC dan syarikat," katanya.

Katanya, beliau meletakkan sasaran Kelantan kembali  beraksi pada saingan Liga Super musim depan bagi mengembalikan kecemerlangan pasukan Kelantan.

"Setidak-tidaknya setiap perlawanan saya mahu pasukan Kelantan membawa pulang  satu mata sebagai indeks petunjuk prestasi (KPI) dan tidak mustahil nilai pasukan Kelantan dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi akan mencapai RM5 juta sehingga RM1 bilion...beri sokongan kepada saya untuk menguruskan team TRW Sdn Bhd dengan kepakaran yang dimiliki," katanya.

Sementara itu, Afandi  berkata KAFA, yang sebelum ini mempunyai saham sebanyak 20 peratus dalam syarikat itu, tidak lagi menguruskan pasukan Kelantan FC.

"Kita akan menguruskan program pembangunan, Piala Presiden, belia dan lain yang tidak ada kaitan pasukan Kelantan FC.

"Dengan pemilik baharu ini, kami berharap pasukan Kelantan kembali cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M)," katanya.

Kredit: FB Kelantan FC

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen