Kelantan bakal berdepan kesukaran peroleh lesen kebangsaan 

Oleh Bernama 12 Mei 2020 183
 Kelantan bakal berdepan kesukaran peroleh lesen kebangsaan 
Pasukan Kelantan bakal berhadapan masalah untuk mendapatkan lesen kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 sekiranya gagal menyelesaikan baki tuntutan kontrak bekas pemain import dari Brazil , Cassio Francisco de Jesus, berjumlah RM629,620.28.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, berkata First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM akan meneliti segala aspek termasuk tunggakan gaji bagi kesemua pasukan Liga-M 2020 sebelum mengeluarkan lesen kebangsaan yang membolehkan sesebuah pasukan diluluskan beraksi dalam Liga-M pada musim depan.

“FAM tidak boleh mencampuri urusan di antara FIFA dan KAFA kerana ia sudah ditentukan oleh FIFA sendiri. FAM hanya akan mengambil tindakan susulan terhadap keputusan awal yang diputuskan FIFA terhadap pasukan Liga Malaysia yang terlibat.

“Sebagai contoh, sekiranya FIFA arahkan perpindahan pemain dan pemotongan mata dilakukan terhadap pasukan terlibat, barulah FAM akan mengambil tindakan susulan di peringkat domestik,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Stuart menjelaskan tindakan larangan perpindahan sebanyak dua kali selain pemotongan mata merupakan antara keputusan awal yang boleh diambil FAM ke atas Kelantan sekiranya pasukan itu gagal menjelaskan pampasan yang dituntut.

KAFA mendapatkan khidmat Cassio pada Disember 2017, namun pemain berusia 30 tahun itu dilepaskan oleh persatuan itu sebelum kontraknya berakhir penghujung 2019.

Susulan tindakan itu, Cassio dilaporkan membuat aduan kepada KAFA yang menamatkan kontraknya lebih awal dan FIFA mengarahkan KAFA untuk menyelesaikan bayaran berkenaan sebelum penghujung bulan ini atau bakal berdepan tindakan lebih tegas.

FAM sebelum ini mengambil tindakan memotong tiga mata pasukan Kelantan dalam saingan Liga Super 2019 susulan kegagalan pasukan berkenaan menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM235,686 kepada bekas pengarah teknikalnya, Alfredo Carlos Gonzales.

Dalam pada itu, Stuart menjelaskan keengganan pemain tempatan membuat aduan kepada badan induk berkenaan secara terus menyukarkan mereka untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pasukan yang gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada pemain masing-masing.

Beliau mengakui penangguhan Liga-M akibat penularan wabak Covid-19 menjejaskan pendapatan pasukan tempatan, namun ia tidak boleh dijadikan alasan oleh majikan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab mereka membayar gaji pemain dan pegawai pasukan mereka.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan berhubung tunggakan gaji, mungkin disebabkan ada perbincangan di antara majikan dan pemain, namun kedua-dua pihak dinasihatkan untuk berbincang berhubung baki kontrak pemain bagi memastikan keadilan kepada mereka,” kata Stuart.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen