Kapten skuad B-22 sah sertai JDT 

Oleh Penulis Jemputan 30 September 2017 24255
Kapten skuad B-22 sah sertai JDT 
Ketua pasukan B-22 negara, Adib Zainuddin, mengesahkan akan berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan sejurus kontraknya bersama Felcra FC tamat hujung musim ini. 

Bagi Adib, terdapat beberapa faktor yang mendorongnya memilih haluan ke selatan tanah air. 

Selain mahu bersama kelab yang mempunyai prasarana terbaik, Adib turut mahu berbakti dengan pasukan dari negeri kelahirannya, Johor. 

"Saya melihat JDT sebuah pasukan sedang membangun apabila ramai pemain ingin berhijrah ke sana.

"Faktor ingin menabur bakti bersama negeri kelahiran saya juga mempengaruhi keputusan saya," katanya. 

Penuntut jurusan sains dan sukan UiTM Shah Alam itu akan turut menamatkan pengajiannya yang berbaki dua semester secara atas talian apabila berhijrah ke JDT nanti. 

Walaupun sah ke kelab penyandang juara Liga Super itu, Adib kini tetap komited dengan tugasan bersama Felcra dan bertekad memastikan kelab itu mara ke saingan Liga Perdana musim depan. 

Selepas menewaskan Terengganu City 2-1 secara agregat dalam aksi suku akhir Piala FAM, skuad Felcra bimbingan Rosle Md Derus itu kini hanya perlu melepasi halangan Sime Darby FC di peringkat separuh akhir untuk memastikan kemaraan. 

"Saya masih mempunyai kontrak dengan Felcra, saya harus melunaskan objektif Felcra untuk ke Liga Perdana. 

"Pasukan ini dalam keadaan yang baik, kami semua sangat bersemangat. 

"Sime Darby pasukan yang hebat dalam saingan Piala FAM, namun saya percaya kami mampu mara ke final," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen