Ketua jurulatih PKNS, E. Elavarasan, mengibaratkan mimpi semakin menjadi kenyataan apabila pasukannya hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan status mereka ke Liga Super musim depan.

Berdepan Kuala Lumpur dalam aksi terakhir, Elavarasan melihat misi layak ke Liga Super bukan lagi omong kosong.

Elavarasan menegaskan kepada pemain-pemainnya, tugas mereka hanya perlu mengelak daripada kekalahan kepada Kuala Lumpur selain turun tanpa sebarang tekanan.

Jika berjaya ke Liga Super, tambahnya, ia dilihat sedikit-sebanyak mengubati kekecewaan mereka di pentas final Piala FA kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Bukan senang untuk mencuba mencari satu mat, tetapi pemain saya tahu pentingnya satu mata itu.

"Kami sudah selangkah ke Liga Super," ujar Elavarasan.

Bagi ketua pasukan, Gonzalo Soto, dia berasa lega kerana musim ini dijangka bakal berakhir dengan nota ceria selepas percubaan tahun lalu tidak menjadi apabila sekadar meraih tangga keempat.

Dia juga berharap agar dapat kekal bersama PKNS musim depan jika PKNS layak beraksi di pentas Liga Super.

"Kami melakukan tugas dengan baik dan telah bekerja keras untuk mencuba mara ke Liga Super.

"Kini kami perlu menggunakan peluang yang ada untuk mengesahkan tempat dalam Liga Super," kata Soto.