Misteri kegagalan penyerang import baru The Red Warriors (TRW), Christoper Jackson, beraksi menentang Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga Perdana semalam terjawab apabila disahkan cedera dan tempatnya digantikan oleh bekas penyerang Pahang, Lazarus Kaimbi, bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, berkata keputusan menggantikan Jackson terpaksa dibuat selepas pegawai perubatan pasukannya mengesahkan penggempur kelahiran Liberia itu mengalami kecederaan lateral menicus dibahagian lulut kanan.

"Sebelum bersama TRW, pasukan perubatan telah melakukan pemeriksaan rapi ke atas pemain itu dan mendapati dia bebas daripada kecederaan lampau.

"Namun, malang menimpa Jackson apabila dia mengalami kecederaan dalam perlawanan persahabatan menentang PJ City dan kecederaan ini menyebabkan Jackson terpaksa berehat panjang sebelum dapat kembali beraksi semula selepas ini," ulasnya.

Wan Rakemi, yang juga Pengurus TRW musim ini, menjelaskan pihaknya berat hati untuk 'melepaskan' Jackson buat seketika, namun itu adalah pilihan terbaik buat mereka memandangkan aksi liga baru sahaja bermula.

"TRW memerlukan penyerang berkualiti bagi memastikan jentera hadapan pasukan berada di tahap terbaik untuk mengharungi saingan sukar musim ini.

"Saya telah melakukan perbincangan dengan barisan jurulatih dan mereka bersetuju memilih Kaimbi sebagai penganti," tambahnya.

Sementara itu, Kaimbi tidak perlu menunggu lama untuk memikat hati penyokong setia TRW apabila menyudahkan sepakan penalti ketika seri 1-1 dengan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.