KAFA terus kerja keras langsai hutang lapuk

Oleh Farizal Yusoff 2 Jun 2020 256
KAFA terus kerja keras langsai hutang lapuk
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terus bekerja keras mengumpulkan dana dalam usaha melangsaikan hutang lapuk persatuan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, berkata pelbagai usaha telah dilakukan oleh badan induk itu, termasuk yang terbaru mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Kelantan semalam.

“Alhamdulillah, barisan kepimpinan KAFA yang diketuai oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas pucuk pimpinan bagi memohon bantuan daripada segi kewangan dalam usaha menyelesaikan isu hutang.

“Selain aspek kewangan, pertemuan itu juga turut membincangkan soal bantuan lain yang boleh dihulurkan oleh kerajaan negeri kepada KAFA,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Muzakkir mengumumkan sebanyak RM15,000 berjaya dikutip daripada orang ramai untuk tabung derma dalam talian bagi membantu KAFA menyelesaikan tuntutan gaji tertunggak pemain import, Cassio De Jesus.

"Kami masih membuka tabung derma dan KAFA ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ‘perwira-12’ Team Red Warriors (TRW) yang banyak membantu pasukan," katanya.

Untuk rekod, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengarahkan KAFA membayar tunggakan gaji De Jesus berjumlah RM629,620.28 dalam masa sebulan yang berakhir pada 23 Mei lepas.

Namun, KAFA mendapatkan penangguhan selama dua minggu daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk kembali membuka pintu rundingan bersama bekas pertahanan kelab Semen Padang itu.

Kredit Foto: Kelantan FA

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen