Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Selepas bertungkus-lumus mencari derma untuk membayar tunggakan gaji bekas pertahanan import, Cassio De Jesus, berjumlah RM629,620.20, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dikejutkan pula dengan peletakan jawatan Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, berkuatkuasa serta-merta.


Peletakkan jawatan itu juga secara tidak langsung menyaksikan After Image Sdn. Bhd, syarikat yang bernaung di bawah TRW Sdn Bhd, turut menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi pasukan Kelantan FA musim ini.

Wan Rakemi menjelaskan keputusan itu tidak dibuat secara terburu-buru sebaliknya mengambil kira pelbagai aspek termasuklah pandemik Covid-19 yang menyebabkan Liga Malaysia (Liga-M) terpaksa ditangguhkan sehingga kini.

"Kelantan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kutipan tiket, jualan jersi dan tajaan syarikat untuk menyokong operasi pasukan.

"Namun, sejak saingan Liga-M ditangguhkan, kantung kewangan pasukan semakin meruncing. Bukan itu sahaja, masih banyak hutang lama pasukan yang belum diselesaikan.

"Situasi ini membuatkan After Image sudah tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab itu, tambahan pula dalam situasi yang tidak menentu serta aliran tunai yang sangat kritikal ketika ini," tambahnya.

Dalam perkembangan yang sama, Wan Rakemi juga mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai Exco Eksekutif KAFA penggal 2019-2023, Bendahari dan Pengurus Pasukan Kelantan musim ini.

"Saya mohon maaf kepada semua penyokong setia TRW di atas keputusan ini.
Hasrat dan impian untuk melihat skuad TRW kembali gemilang seperti sebelum ini terpaksa ditangguhkan.

"Terima lkasih juga kepada barisan kepimpinan KAFA dan semua yang terlibat dalam memajukan bola sepak negeri Kelantan," ujarnya sambil menegaskan perkara itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman.