Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman, mengesahkan pihaknya akan menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain import, Cassio Francisco De Jesus, berjumlah RM629,620.28 dalam masa terdekat.

Isnin lalu, FIFA mengarahkan KAFA untuk berbuat demikian dan skuad The Red Warrior berikrar akan memenuhi tuntutan yang dikeluarkan badan induk dunia itu.

Difahamkan, FIFA mengarahkan kafa untuk membayar gaji tertunggak kepada Cassio dalam tempoh 30 hari dan jika gagal berbuat demikian, badan induk dunia itu akan membawa kes tersebut ke jawatankuasa tatatertib sebelum tindakan diambil.

"Cassio telah menghantar tuntutan kepada peguamnya sebelum diserahkan kepada FIFA dan peguam kami sedang menelitinya," kata Husin.

Dalam masa sama, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, tampil menjelaskan kedudukan The Red Warriors sama ada akan digantung atau sebaliknya.

"Apabila Perlis menerima tindakan daripada FIFA, ia mungkin akan dijalankan kepada Kelantan iaitu penggantungan dua jendela perpindahan. Disebabkan Perlis tidak lagi memiliki pasukan dalam liga, bermakna pasukan tersebut tidak boleh melakukan pendaftaran baru. Untuk Kelantan, tidak bermakna mereka tidak boleh bertanding. Seperti kelab di Eropah seperti Chelsea, mereka juga digantung untuk mendapatkan pemain baru," katanya.