Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memilih untuk sikap berhati-hati dalam menamakan bakal ketua jurulatih skuad The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Tindakan itu perlu memandangkan dua jurulatih import yang dilantik sebelum ini, Sathit Bensoh (Thailand) dan Fajr Ibrahim (Syria) gagal menjalankan tugas dengan sempurna sehingga terpaksa meletakkan jawatan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata pihaknya cukup berhati-hati untuk melantik ketua jurulatih baru selepas calon pilihan, Yusri Che Lah, membuat keputusan untuk bersama skuad Liga Super Kuala Lumpur.

"Musim ini kami sudah melakukan dua keputusan yang merugikan persatuan apabila melantik Sathit Bensoh dan Fajr Ibrahim sebagai jurulatih yang dilihat kurang memberikan impak kepada pasukan.

"Untuk musim depan, kami perlu meneliti sebaik mungkin sebelum melantik mana-mana jurulatih.

"Kami akan melihat rekod kejurulatihan mereka, lesen dan sebagainya," katanya.

Bibi Ramjani berkata biarpun belum mempunyai ketua jurulatih rasmi, pembantu jurulatih, Kamaruddin Muhammad, dan pengarah teknikal, Jorg Peter Steinebrunner, telah melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

"KAFA sudah merangka satu perlawanan persahabatan dengan pasukan Terengganu FC (TFC) pada 5 Januari ini untuk menilai kemampuan pemain," katanya.

Bibi Ramjani juga menjelaskan Kelantan masih memerlukan lima pemain, termasuk seorang pemain import, untuk didaftarkan pada 20 Januari ini.

"Kami belum ada penaja utama dan berharap ada pihak yang akan tampil untuk membantu persiapan TRW menghadapi cabaran Liga Perdana yang cukup mencabar musim depan," katanya.