Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberi respon segera ke atas isu tuntutan tunggakan gaji bekas pemain import kelahiran Brazil, Casio Francisco De Jesus dengan melancarkan tabung derma dalam talian.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, menjelaskan tindakan segera ini perlu dilakukan kerana tunggakan gaji berjumlah RM629,620.20 perlu dibayar dalam tempoh 30 hari bermula 23 April lepas sebagaimana yang diarahkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

"Kita (KAFA) tidak mempunyai banyak masa, tambahan pula Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan akibat Covid-19, pasti menyulitkan persatuan untuk mendapatkan sumber kewangan mencukupi untuk membayar tuntutan tersebut.

"Oleh itu, KAFA membuat keputusan memohon bantuan orang ramai terutama peminat dan penyokong setia The Red Warriors (TRW) untuk menderma atas nama Persatuan Bolasepak Kelantan secara dalam talian (online) di nombor akaun 553010630676 (Maybank).

"Pihak KAFA juga akan memaklumkan jumlah kutipan ini dari masa ke semasa dan penderma juga boleh menghantar salinan resit sebagai bukti melalui WhatsApp di talian 013 9283293,"jelasnya.

Ahmad Muzakkir juga menerangkan kegagalan persatuan menjelaskan apa jua tuntutan yang diarahkan FIFA bakal merumitkan lagi keadaan.

"Pasti hukuman lebih berat akan diterima KAFA dan pasti menjejaskan harapan pasukan TRW yang sedang bersaing dalam Liga Perdana ketika ini.

"Dengan rendah diri, kami merayu simpati semua pihak untuk membantu KAFA demi pasukan kesayangan kita ini," tambahnya.