Bekas pemain skuad Projek Olimpik negara, Tengku Hazman Raja Hassan, mengakui akan membimbing pasukan lain bagi saingan musim akan datang.

Ini berikutan khidmatnya sebagai pengendali pasukan sokongan, Terengganu FC (TFC) II, tidak lagi diperlukan selepas tidak ditawarkan kontrak baru.

Ketika mengesahkannya, Tengku Hazman berkata keputusan itu dibuat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam mesyuarat pengurusan tertinggi kelmarin.

Jurulatih meningkat naik itu turut mengakui kegagalan TFC II mempertahankan kejuaraan Piala Cabaran bagai menjadi punca kepada 'perpisahan' kedua-dua pihak.

"Benar, kontrak saya yang akan berakhir sehingga tamat musim ini dan tidak akan disambung.

"Mengenai hala tuju selepas ini, saya bersedia mempertimbang tawaran daripada pasukan Liga Perdana atau pembantu jurulatih kepada pasukan Liga Super.

"Apapun, buat masa sekarang, tiada sebarang kata putus kerana masih baru lagi (penamatan kontrak)," jelasnya yang mula membimbing TFC II sejak Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Tengku Hazman percaya kewujudan banyak pasukan sokongan dalam saingan tempatan mampu memberikan impak positif dalam jangka masa panjang.

Dia memberi pandangan faktor kewangan serta pembangunan pemain muda mendorong budaya pasukan sokongan mula dilihat sebagai alternatif terbaik.

"Johor Darul Ta'zim (JDT) dan TFC sudah menampakkan hasil dari semasa ke semasa.

"Tetapi kita kena lihat kesan kepada pasukan Liga Perdana yang naik ke Liga Super, adakah kualiti mereka setanding," ujarnya lagi.