Jipun, Azzizan kekal bersama Sang Badak

Oleh Willie Jude 26 Oktober 2018 1568
Jipun, Azzizan kekal bersama Sang Badak
Kapten Sabah, Rawilson Batuil dan Mohd Azzizan Nordin kekal bersama pasukan itu untuk saingan Liga Malaysia, musim depan.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil, yang memberitahu dua pemain itu telah menandatangani kontrak baru bersama Sang Badak.

"Ya mereka telah menandatangani kontrak baru dan kini kami hanya perlu menunggu masa untuk membuat pengumuman rasmi," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, kelmarin.

Rawilson yang lebih mesra dipanggil 'Jipun' di kalangan rakan sepasukan adalah produk pasukan Piala Presiden Sabah dan mula diserapkan ke dalam skuad senior pada 2014.

Dia kemudian dilantik sebagai kapten Sabah ketika Jelius Ating mengambil alih tugas ketua jurulatih pada pertengahan musim lalu.

Rawilson juga telah dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada Mac lalu serta melakukan penampilan pertamanya dalam aksi bertemu Kemboja, 10 September lalu, namun namanya tidak berada dalam senarai akhir Tan Cheng Hoe bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2018. 

Sementara itu, Azzizan turut membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya ketika bertemu Kemboja dan disenaraikan oleh Cheng Hoe untuk persiapan menghadapi Piala AFF Suzuki 2018. 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen