Disiplin tinggi, kerjasama baik antara pemain serta keprihatinan kerajaan negeri menjadi rahsia kejayaan Sabah mencipta kejuaraan Liga Perdana 2019.

Pengendali Sabah, Jelius Ating mendedahkan bahawa usaha kerajaan negeri dan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang menjaga kebajikan selain keharmonian pasukan menjadi perangsang dan motivasi kepada barisan pemain.

Bekas pemain kebangsaan yang mula mengendali skuad Tambadau sejak pertengahan 2017 itu berjaya meletakkan Sabah sebagai juara liga selepas penantian selama 23 tahun, sekali gus kembali beraksi dalam kancah Liga Super 2020.

Sabah mengesahkan kejuaraan dengan berbaki dua perlawanan dan meneruskan kemaraan dalam saingan terakhir di laman sendiri apabila menewaskan Kelantan 1-0 sebelum menjulang Piala Liga Perdana semalam.

"Keprihatinan kerajaan negeri yang memberikan sokongan serta kebajikan pemain-pemain yang terjaga merupakan kunci kejayaan skuad Sabah merangkul gelaran Liga Perdana musim ini," katanya.

Hasil kejayaan itu, Jelius bertekad memastikan Sabah meraih keputusan lebih cemerlang dalam saingan Piala Malaysia 2019 berbanding musim lalu apabila disingkirkan di peringkat separuh akhir.

"Bukan mudah menghadapi saingan Piala Malaysia kali ini. Pasukan yang layak beraksi merupakan antara yang terbaik dan dibarisi pemain-pemain berkualiti," ujarnya.