Jelius serah kepada pihak pengurusan

Oleh Willie Jude 27 November 2018 449
Jelius serah kepada pihak pengurusan
Jelius Ating menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan sama ada mahu mengekalkannya sebagai ketua jurulatih Sabah atau sebaliknya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pengendali berusia 47 tahun itu, yang berjaya membawa Sang Badak ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini, mengakui masih ingin terus mencurah bakti kepada negeri kelahirannya itu.

"Setakat ini saya belum dimaklumkan apa-apa.

"Jika saya dikekalkan, perancangan dan persiapan perlu dibuat segera. Jika tidak, saya harap pengendali pasukan itu nanti akan dapat mengatasi masalah ini (persiapan lambat).

"Saya tidak dapat merancang apa-apa ketika ini kerana saya masih belum tahu kedudukan saya, begitu juga dengan kedudukan sebahagian pemain pasukan.

"Walaupun kami menjalani latihan seperti biasa sehingga kini, namun kami tidak mampu untuk melihat lebih jauh kerana belum ada sebarang berita mengenai kedudukan kami," katanya ketika ditemui, di Kota Kinabalu.

Jelius mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada pertengahan musim 2017 dan berjaya menyelamatkan pasukan itu daripada tersingkir daripada saingan Liga Perdana.

Pada musim 2018 pula, Jelius berjaya membawa Sabah layak ke saingan Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya tujuh tahun lalu dan beliau kemudian meneruskan kecemerlangan itu dengan membimbing pasukan sehingga ke separuh akhir kejohanan paling berprestij negara itu.

Difahamkan, kontrak Jelius bersama pegawai pasukan lain akan tamat pada penghujung bulan ini manakala hanya tiga pemain yang masih memiliki kontrak sehingga musim depan.

Dua pemain tempatan, iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil dan Mohd Azzizan Nordin, telah menandatangani kontrak baharu bersama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) untuk saingan musim depan manakala penyerang import, Rodoljub Paunovic, masih memiliki kontrak sehingga pertengahan musim depan.

Difahamkan, kelewatan melantik jurulatih serta memberi kontrak baru kepada pemain pasukan itu adalah disebabkan kemelut yang melanda persatuan itu ketika ini.

Selain menghadapi masalah kewangan, beberapa pemimpin persatuan itu, termasuk presidennya, Alijus Sipil, telah meletak jawatan baru-baru ini.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen