Jelius Ating bersedia untuk terus menabur bakti jika terus diberikan ruang untuk mengendalikan Sabah pada musim depan selepas berjaya membawa pasukan itu kekal dalam saingan Liga Perdana.

Mengambil alih pasukan pada Mac lalu ketika pasukan ini terperosok di tangga kedua tercorot selepas lapan perlawanan, Jelius dilihat berjaya dalam tugasannya bersama skuad Sang Badak.

Ketika tinggal baki satu perlawanan, Sabah kini berada di tangga ketujuh serta mencipta tujuh kemenangan daripada 13 perlawanan di bawah pengawasan Jelius.

Pencapaian itu dilihat sesuatu yang membanggakan, tambahan pula Sabah banyak mempertaruhkan anak tempatan negeri itu dalam saingan Liga Perdana musim ini.

“Kebangkitan pemain-pemain dan prestasi yang dipamerkan diharap akan berterusan bagi membuat persiapan menghadapi musim hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Jelius berharap Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mampu membantunya memburu beberapa pemain import dan tempatan berkualiti jika kontraknya disambung pada musim depan.

Ia penting jika mahu membawa Sabah muncul sebagai salah sebuah pasukan pencabar dalam Liga Perdana 2018.

“Saya juga berharap persatuan akan membantu untuk mendapatkan pemain-pemain yang berkualiti tetapi segala keputusan terletak di tangan mereka,” katanya.