Pengendali Sabah, Jelius Ating, tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas pasukannya menundukkan UiTM FC 3-0 dalam aksi Liga Perdana di Shah Alam, semalam.

Skuad Badak itu sekadar mencatat tiga seri dan empat kekalahan sebelum ini, termasuk dikecewakan UKM FC 3-1 pada Sabtu lalu.

Justeru, kemenangan ke atas UiTM jelas memberikan semangat baru buat Sabah sambil Jelius sendiri mengakui bahawa bukan mudah untuk mereka kembali meletakkan diri di landasan kemenangan selepas kali terakhir meraih tiga mata ketika menentang lawan sama pada 10 April lalu.

"Walaupun kami berada dalam situasi yang agak sukar setelah mengalami empat kekalahan sebelum ini, ternyata pemain-pemain Sabah bersungguh-sungguh mahu mendapatkan kemenangan dalam aksi bertemu UiTM," katanya.

Dalam masa sama, ketua jurulatih UiTM, Wan Mustaffa Wan Ismail, terpaksa akur dengan faktor persefahaman yang belum sempurna dalam kalangan pemain import menjadi faktor untuk mereka tunduk di laman sendiri.

"Pemain-pemain saya tampak keletihan tetapi itu bukan alasan. Kombinasi antara empat pemain import kami juga masih belum diraih sepenuhnya.

"Masih ada enam perlawanan dan diharapkan kami dapat bangkit untuk memenangi aksi selepas ini," ujarnya.