Pengendali Sabah, Jelius Ating, tetap bersyukur kerana berjaya membawa pulang satu mata selepas pasukannya seri 1-1 dengan FELCRA FC di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 47 tahun itu sedikit kurang berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya, terutama pada awal separuh masa pertama.

Baginya, corak permainan yang ditunjukkan anak buahnya agak perlahan, terutama pada awal separuh masa pertama, sehingga menyebabkan mereka kurang penguasaan bola, namun masih memuji kesungguhan yang dipamerkan pemainnya, terutama dalam babak kedua perlawanan.

"Permainan agak perlahan di awal babak pertama, tidak seperti yang ditunjukkan dalam aksi di Likas sebelum ini...mereka nampak seperti keletihan.

"Apa yang penting, kami tidak pulang dengan tangan kosong. Mmatlamat kami ialah untuk mengutip mata penuh setiap kali beraksi di gelanggang sendiri dan sekurang-kurangnya mendapat satu mata di tempat lawan bagi membolehkan kami berada dalam kelompok atasan liga," kata Jelius.

"Saya tidak menolak faktor ini (keletihan). Jadual perlawanan agak padat dan kami juga terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh ke sini (Shah Alam) dan masa untuk mereka (pemain) berehat tidak cukup," katanya.

"Pada separuh masa kedua, pemain mula menunjukkan permainan lebih baik, malah kami memiliki tiga peluang baik untuk menjaringkan gol, termasuk dua peluang keemasan dimiliki Maxsius (Musa)...dia sedikit kurang tenang di depan gol."

Dalam aksi malam tadi, FELCRA FC memperolehi gol pendahuluan menerusi Anselmo Arruda Da Silva pada minit ke-26, namun Sabah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35 hasil sepakan penalti Lee Gil Hoon.

Tuan rumah hampir mencatat kemenangan selepas mendapat sepakan penalti di penghujung perlawanan, bagaimanapun sepakan Anselmo berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining.