Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) hari ini mengesahkan Jelius Ating kekal sebagai pengendali Sang Badak untuk saingan Liga Malaysia, musim depan.

Perkara itu diumumkan Presiden SAFA, Tan Sri Musa Aman, menerusi kenyataan yang disampaikan Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang, di pejabat SAFA di Kota Kinabalu, pagi tadi.

Dalam kenyataan itu juga, Musa berkata Datuk Juil Nuatim dan Burhan Ajui masing-masing dikekalkan sebagai pengurus dan penolong ketua jurulatih skuad berkenaan.

"Selain itu, kita juga mengekalkan Mark Damun sebagai jurulatih penjaga gol manakala Jorrye Jakiwa sebagai jurulatih kecergasan baru pasukan," katanya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan pasukan Sabah meneruskan momentum sebagai pencabar dalam saingan Liga Malaysia sejak Jelius mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih, pertengahan musim lalu.