Jurulatih Sabah, Jelius Ating, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas gagal mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan, Ronny Harun, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Dia menyifatkan kegagalan mengikat Ronny sebagai sesuatu yang sangat mengecewakan apabila pemain itu sebelum ini secara lisan telah bersetuju untuk kembali menyarung jersi Sabah.

Ronny sebelum ini kembali ke Kota Kinabalu dan menyertai kem latihan Sang Badak selepas kontraknya dengan Sarawak tidak disambung.

Bagaimanapun, pemain itu membuat keputusan mengejut apabila menandatangani kontrak bersama kelab Liga FAM, Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers).

"Sememangnya saya sangat kecewa kerana saya telah berusaha sehabis baik bagi meyakinkan Ronny dan Mafry (Balang) untuk kembali ke pangkuan Sabah musim depan.

"Mereka juga telah menolak beberapa tawaran daripada pasukan lain di semenanjung, malah Ronny turut menolak tawaran sebuah kelab dari Thailand.

"Bagaimanapun, pada akhirnya perbincangan di antara Ronny dan pasukan berakhir dengan sangat mengecewakan," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata dia dimaklumkan jurulatih dan pegawai pasukan PJ Rangers telah datang ke Kota Kinabalu bersama kontrak untuk ditandatangani Ronny.

"Oleh kerana tiada persetujuan dicapai di antara Ronny dan SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah), dia mempunyai hak untuk menandatanganinya (kontrak dengan PJ Rangers)," ujarnya.

Sementara itu, Jelius turut berharap tidak akan terlepas untuk mendapatkan khidmat Mafry bagi membarisi pasukannya musim depan.

"Mafry telah balik ke Pulau Pinang untuk mengurus barangan miliknya di sana dan dijangka kembali semula ke Kota Kinabalu esok," katanya.

Gambar: Laman Facebook Kelab Bola Sepak Petaling Jaya Rangers.