Tonggak utama skuad Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Syahrul Azwari Ibrahim dan Syazwan Andik, mahu membantutkan usaha Kuala Lumpur untuk menjuarai Liga Perdana sambil menghadiahkan pasukan dengan kemenangan bagi mengakhiri musim ini.

JDT II akan menerima kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Pasir Gudang bagi aksi terakhir kedua-dua pasukan musim ini.

Keputusan perlawanan itu tidak memberi sebarang makna buat JDT II, namun penting buat Kuala Lumpur yang memerlukan kemenangan untuk memastikan kejuaraan liga menjadi milik mereka.

Ketika Kuala Lumpur mengharapkan ihsan JDT II untuk mencapai misi itu, Syahrul dan Syazwan menegaskan mereka tetap enggan berputih mata di laman sendiri.

“Kami akan mempamerkan aksi terbaik dan tidak akan memberi laluan mudah buat Kuala Lumpur untuk menjuarai liga,” kata Syahrul Azwari.

Syahrul yang bergelut untuk kembali ke prestasi terbaik kini menjadi sandaran utama pengendali pasukan, Benjamin Mora, namun kelibat Syazwan yang juga tonggak skuad B-22 negara sememangnya ditagih dalam menjana serangan dari bahagian sayap.

“Saya mengharapkan seluruh pasukan terus fokus dan memberikan komitmen terbaik untuk perlawanan terakhir musim ini,” ujar Syazwan.