Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, menganggap mencapai sasaran layak ke Liga Super memang sesuatu yang menggembirakan tetapi menjuarai saingan Liga Perdana adalah lebih indah.

Skuad Tambadau itu kini semakin menghampiri Liga Super dan berada di landasan yang baik untuk muncul juara saingan liga, namun Jelius menegaskan itu bukanlah bermakna mereka boleh berasa selesa dengan kedudukan sekarang.

"Mencapai sasaran layak ke Liga Super sudah pasti menggembirakan tetapi jika kami menjadi juara (Liga Perdana), ia lebih indah dan itu adalah fokus utama kami ketika ini.

"Bagaimanapun, saya ingin menegaskan semuanya itu (layak ke Liga Super dan menjuarai Liga Perdana) masih belum menjadi kenyataan walaupun kami kini di landasan baik menuju ke arah itu.

"Selagi ia belum tercapai, kami tidak harus berasa selesa dengan kedudukan sekarang (berada di puncak liga) dan perlu terus bekerja keras dalam setiap perlawanan," katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius juga berkata kemenangan ke atas Sarawak dalam aksi seterusnya di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Rabu ini, penting bagi mengukuhkan lagi kedudukan mereka.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 47 tahun itu tidak memandang mudah cabaran pasukan jiran itu walaupun ketika ini skuad Ngap Sayot berada di dasar liga.

"Kami anggap Sarawak juga sama seperti pasukan-pasukan lain dan ini bermaksud mereka akan tetap bekerja keras untuk mencatat kemenangan.

"Apa yang penting juga, pemain perlu terus meningkatkan prestasi kerana tidak dinafikan kami beraksi di bawah tahap sebenar dalam dua perlawanan lalu walaupun mencatat kemenangan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Jelius tidak akan melakukan perubahan besar terhadap kesebelasan utamanya sebelum ini, namun membayangkan kemungkinan membuat sedikit perubahan di bahagian serangan.

"Kami akan melihatnya dalam sesi latihan hari ini dan esok. Saya tidak nafikan kehadiran Aguinaldo (Mendes Veiga) tidak begitu banyak membantu pasukan dan kalau kita lihat dalam aksi lalu, apabila saya memasukkan Rahman (Shah Marajeh), bahagian serangan kami lebih baik.

"Saya ingin tegaskan di sini, hanya pemain yang beraksi baik saja yang layak beraksi di atas padang dan tidak semestinya jika dia pemain import, dia wajib diturunkan ," katanya.