Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bersetuju dengan syarat yang diletakkan oleh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berkenaan isu pemotongan gaji pemain.

Persatuan itu sedia menyelesaikan sebarang tunggakan gaji pemainnya musim ini sebelum bertindak melakukan pemotongan berikutan pandemik Covid-19.

Terdahulu, PFAM meletakkan dua syarat yang harus dipatuhi oleh majikan dalam Liga Malaysia sebelum membincangkan isu pemotongan gaji.

Syarat berkenaan adalah semua pasukan wajib menyelesaikan sebarang tunggakan gaji sebelum wabak Covid-19 melanda negara dan melakukan rundingan atau persetujuan dengan pemain secara individu.

Difahamkan, KAFA hanya mempunyai tunggakan gaji selama sebulan, namun masih menanggung hutang lapuk yang mencecah jutaan ringgit.

Menyambut baik saranan PFAM itu, KAFA akan melakukan pemotongan gaji pemainnya berdasarkan tangga gaji mereka.

"Itu tidak menjadi masalah buat KAFA kerana (pembayaran) gaji tetap berjalan," kata Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman.

"Maksud mereka (PFAM), ia melibatkan gaji pemain sekarang dan pemain dahulu (hutang lapuk) itu hal lain.

"Kami akan menyelesaikan pembayaran gaji terlebih dahulu sebelum mengadakan perbincangan (dengan pemain)," katanya.