PDRM FA mengambil pendekatan kunci mulut berhubung isu tunggakan gaji pemain dan jurulatih sambil Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berjanji untuk menyelesaikan masalah itu seawal bulan depan.

PDRM dan Terengganu antara lima pasukan yang dikatakan masih gagal melunaskan tunggakan gaji pemain meskipun musim baru liga akan bermula tidak lama lagi.

Difahamkan, The Cops mempunyai tunggakan gaji hampir lima bulan yang membabitkan pemain termasuk bekas jurulatih E. Elavarasan dan Wan Mustaffa Wan Ismail.

Usaha pemain dan jurulatih menerusi surat dan afidavit yang dihantar ke persatuan itu juga menemui jalan buntu apabila tiada maklum balas diberikan.

Ditanya mengenai perkara itu, pihak pengurusan PDRM enggan memberi penjelasan lanjut.

"Nantilah dulu, kami tengah kelam kabut lagi.

"3 (Januari) nanti kami akan beritahu balik (maklumkan)," kata pengurus PDRM, Datuk Khalil Azlan Chik ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, isu tunggakan gaji membabitkan pasukan skuad Peteh mula menunjukkan perkembangan positif menjelang saingan Liga Malaysia 2020.

Ia susulan Timbalan Presiden PBSNT, Hishamudin Abdul Karim, mengesahkan proses pembayaran akan dibuat dalam masa terdekat menerusi sumber tertentu.

PBSNT terbabit dengan kelewatan melunaskan sejumlah bentuk bayaran kepada 12 bekas pemain yang dilepaskan bulan lalu, antaranya Hasni Zaidi Jamian, Syamim Yahya, Khairu Azrin Khazali dan Adib Aizuddin.

Editor: Shaiful Shamsudin