Kuantan FA sedia menjadikan UKM FC sebagai mangsa pertama mereka malam ini selepas masih kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan awal Liga Perdana musim ini.

Bagi pengendalinya, Ismail Zakaria, pelbagai isu di luar dan dalam padang yang melanda Kuantan FA sebelum ini tidak menggugat moral anak-anak buahnya untuk meraih tiga mata pertama.

Aksi dengan UKM FC malam ini menjadi kesempatan terbaik buat skuad bimbingannya mendapatkan kemenangan dalam usaha untuk keluar daripada zon bawahan liga.

Biarpun tanpa kelibat tonggak pertahanan, Helmi Remeli, yang masih cedera, kekuatan skuad tidak rapuh, cuma diharapkan pemain lebih tajam dalam menggunakan setiap peluang.

"Kami sememangnya mengharapkan kemenangan pertama selepas sekadar meraih dua keputusan seri dan satu kalah sebelum ini.

"Semua sedar bahawa pasukan kendalian saya ini sedang dalam proses mencari keserasian sesama pemain, jadi banyak perkara yang perlu saya perbaiki untuk meraih mata penuh," kata Ismail.

Dalam masa sama, Ismail tidak mahu pemain-pemainnya memandang rendah kemampuan lawan yang akan ditentang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Keserasian sesama pemain juga dituntut kerana rata-rata pemain UKM FC telah bersama sejak beberapa tahun lalu.

"Saya tahu UKM FC terdiri daripada pemain yang telah bersama sejak saingan Piala Presiden lima tahun lalu dan mereka juga pernah mewakili negara dalam skuad Harimau Muda C.

"Situasi itu membuatkan saya tidak boleh memandang rendah kepada UKM," katanya.