Dengan rekod membangkitkan beberapa pasukan sebelum ini, Irfan Bakti Abu Salim akan memulakan pengembaraan terbarunya dengan membimbing pasukan Liga Perdana, Kuching Fa, yang akan menggunakan nama Kuching City FC bermula musim depan.

Jika ramai yang masih tertanya-tanya mengapa pasukan muda itu menjadi pilihannya, Irfan Bakti mempunyai jawapan tersendiri berdasarkan rekod yang pernah dilakarnya sebelum ini.

Tambahnya, dia meletakkan harapan besar untuk mengecap kemanisan sebelum mengumumkan persaraannya daripada bidang kejurulatihan.

"Sebelum ini ada tiga pasukan yang saya bimbing beraksi dalam Liga Perdana dan Alhamdulillah, pada tahun pertama, saya dapat membawa kesemua tiga pasukan itu ke Liga Super.

"Insya-Allah, saya mahu melakukannya sekali lagi bersama Kucing City FC untuk ke Liga Super," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

Sepanjang 24 tahun bergelar jurulatih profesional, Irfan Bakti pernah membimbing beberapa pasukan gergasi tanah air seperti Terengganu, Selangor dan Felda United selain turut pernah membimbing kelab Indonesia, Persipura Jayapura.

Menjelang pengembaraan barunya bersama pasukan Sarawak itu, Irfan Bakti berasa lega kerana akan kembali mendapatkan khidmat Joseph Kalang Tie, yang akan diangkat sebagai ketua pasukan itu, memandang dia cukup mengenali pemain tengah itu sejak 10 tahun lalu.

"Pemilihannya sebagai ketua pasukan merupakan satu yang bagus kerana apa yang saya tahu, Joseph Kalang merupakan pemain yang amat berdisiplin tidak kira di dalam atau di luar padang -- walaupun dia tidak mempunyai tubuh yang besar.

"Jadi pelantikannya adalah satu keputusan yang tepat," tambahnya.