Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mengambil pendekatan berwaspada dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Korea Selatan hujung bulan depan dalam misi menduduki sekurang-kurangnya dua tempat teratas kumpulan untuk layak ke pusingan akhir.

Bagi Hodak, tuan rumah, Korea Selatan, sudah pasti turun dengan skuad terbaik dan hakikatnya mereka berada di tahap berbeza dengan pasukan lain.

Namun, pada masa sama, bekas pengendali JDT itu enggan memandang mudah cabaran tiga pasukan lain dalam Kumpulan B yang dihuni Indonesia, Timor Leste dan Brunei.

"Saya enggan meletakkan terlalu banyak bebanan ke atas pemain.

"Korea berada di tahap berbeza, Indonesia pula terhandal di Asia Tenggara di peringkat umur ini.

"Mereka mungkin tidak bernasib baik di Myanmar tetapi mereka telah memperagakan aksi menarik.

"Timor Leste lebih sukar berbanding Myanmar kerana mereka dibarisi empat pemain luar. Lagipun, mereka mendapat tajaan latihan di Korea selama hampir sebulan.

"Mereka berpeluang untuk menyesuaikan diri dengan cuaca berbeza segera," kata bekas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kelantan itu.

Hodak mengakui Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Akhyar Rashid adalah tonggak harapan dalam pasukannya, namun dia turut mahu melihat kematangan pemain lain dalam saingan kelayakan kali ini.

Jurulatih itu tidak akan mengadakan aksi persahabatan luar negara, sebaliknya hanya menguji kekuatan pasukan Liga Super serta Liga Perdana.

Sebahagian besar pemain yang beraksi dalam saingan AFF B-18 di Myanmar akan turut dikekalkan.

"Kami akan mengadakan perlawanan persahabatan di Malaysia dengan diuji pasukan Liga Super ataupun Liga Perdana yang tidak lagi terlibat dengan Piala Malaysia.

"Mereka pasukan yang hebat dan ia pasti pertembungan yang menarik," tambahnya.