Kapten Sime Darby FC, Juzaili Samion, pasrah dengan nasib yang menimpanya dan rakan sepasukan selepas kelab itu dibubarkan dan menarik diri daripada Liga Perdana musim depan.

Bekas pemain kebangsaan itu mengakui terkilan apabila pasukan itu mengambil keputusan menarik diri, apatah lagi selepas menjuarai saingan Piala FAM musim ini.

Namun, Juzaili akur dengan keputusan pihak pengurusan Sime Darby.

"Sepanjang 18 tahun saya berada dalam Liga Malaysia, ini adalah salah satu perkara yang saya tidak jangka akan berlaku. Tetapi hidup perlu diteruskan.

"Kami tidak boleh buat apa-apa, pihak pengurusan sudah melakukan yang terbaik. Mungkin pihak atasan tidak dapat membantu pasukan ini lagi. Jadi, kami perlu menerima keputusan yang dibuat," katanya.

Juzaili akan mempertimbangkan peluang menceburi bidang kejurulatihan atau meneruskan kerjaya sebagai pemain dengan pasukan lain dalam masa terdekat.

Nada sama disuarakan pertahanan pasukan itu, Tengku Qayyum Ubaidillah.

Bekas pemain Negeri Sembilan itu mengakui sukar mencari pasukan pada saat-saat akhir, namun tetap mahu meneruskan kerjayanya selepas ini.

"Bagi saya, ia memang mengejutkan. Kami pun baru dapat berita ini semalam. Inilah bola sepak. Apa-apa sahaja boleh terjadi.

"Bagi saya, mungkin ada hikmahnya. Kami sebagai pemain harus meneruskan perjuangan. Insya-Allah dalam masa terdekat, ada pasukan lain pancing pemain-pemain kami," katanya.

Sime Darby FC

Tahun ditubuhkan: 2010
Gelaran: The Giant Killers
Gelanggang: Stadium Selayang

Pencapaian terbaik:
• Liga FAM: Juara (2010 & 2017)
• Liga Perdana: Naib juara (2013)
• Piala FA: Naib juara (2012)