Gol itu sah, tindakan pengadil tepat -- Jelius

Oleh Willie Jude 16 Jun 2019 5599
Gol itu sah, tindakan pengadil tepat -- Jelius
Pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata jaringan yang diakukan Alto Linus dalam aksi Liga Perdana bertemu Negeri Sembilan (NS), malam tadi, adalah sah. 

"Itu adalah gol, pengadil membuat keputusan betul kerana Aguinaldo (Mendes Veiga) yang dalam keadaan ofsaid tidak menyentuh bola itu, sebaliknya Ahmet (Atayev) yang mengambilnya sebelum Alto melakukan penyudah. 

"Mungkin pembantu pengadil terlalu cepat mengangkat bendera, namun dia menurunkannya semula selepas menyedari Aguinaldo tidak mengambil bola itu. Bagi saya, gol itu adalah sah," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu. 

Gol tunggal Alto pada minit ke-65 itu menyaksikan barisan pemain dan barisan pengurusan Negeri Sembilan melakukan bantahan keras kepada pengadil sehingga mengakibatkan pengurus mereka diarah beredar dari bangku pemain simpanan. 

Sementara itu, Jelius sedikit kurang puas hati dengan persembahan anak didiknya walaupun mencatat kemenangan. 

Katanya, pemainnya beraksi di bawah tahap sebenar dan tidak menolak kemungkinan ia disebabkan tempoh rehat yang agak panjang sebelum ini.

"Tempoh rehat panjang ini sebenarnya ada kebaikan dan juga keburukan. Jika kita lihat aksi (malam) tadi, pemain masih tercari-cari rentak selepas berehat panjang.

"Kebaikan (saingan liga) berehat panjang, pemain yang mengalami kecederaan mempunyai masa untuk kembali cergas tetapi keburukannya, kami tiada aksi kompetitif kerana di sini agak sukar untuk kami mencari pasukan berkualiti untuk mengadakan perlawanan persahabatan," katanya. 

Jelius, bagaimanapun, gembira dengan kemenangan itu walaupun mendapat tentangan hebat daripada pasukan lawan.

"Bermain baik atau tidak, kemenangan adalah lebih penting, namun kami perlu mempamerkan peningkatan dalam aksi-aksi akan datang," katanya.
 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen