Ghaddar intai kesebelasan utama KUFC

Oleh Farizal Yusoff 28 Jun 2020 4149
Ghaddar intai kesebelasan utama KUFC
Tonggak Piala Presiden, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman atau Ghaddar, kini mengalih sasarannya untuk berusaha lebih gigih bagi memikat hati pengendali Kelantan United FC (KUFC),  Zahasmi Ismail, dalam memburu kesebelasan utama skuad Kijang Hijau itu.

Ghaddar, yang makin bersemangat selepas melakukan penampilan pertama ketika masuk menggantikan penyerang utama, Gassama Alfussainey, dalam aksi keempat Liga Perdana menentang Negeri Sembilan, Mac lalu, juga tidak sabar untuk turun ke padang bagi menjalani latihan secara rasmi.

"Biarpun sedih dengan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan saingan Piala Presiden musim ini, sebagai pemain, kami akur kerana ia melibatkan soal keselamatan semua pihak.

"Alhamdulillah, saya bertuah diberikan peluang oleh ketua jurulatih selama 15 minit beraksi di atas padang untuk menunjukkan bakat yang ada.

"Saya hargai peluang itu dan akan terus meningkatkan prestasi diri dalam latihan selepas ini (apabila dapat kebenaran)," ujarnya.

Mengulas prestasi semasa KUFC musim ini, pemain kelahiran Tanah Merah mengganggap semua pemain telah memberikan aksi terbaik sehingga mampu berada di tangga kedua liga dengan mengutip sembilan mata daripada empat perlawanan 

“Setakat ini kami hanya kehilangan mata kepada Kelantan FA sahaja, namun kejayaan terakhir menumpaskan Negeri Sembilan 3-0 di gelanggang sendiri sebelum liga ditangguhkan membakar semangat untuk terus berusaha mengejar pendahulu liga, Terengganu FC II,” ulasnya. 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen