Gantung terus sampai bila-bila

Oleh Penulis Jemputan 25 November 2017 46957
Gantung terus sampai bila-bila
Pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir dan Asmawi Bakiri, menyifatkan penggantungan selama-lamanya perlu diambil terhadap pasukan Sime Darby FC selepas menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi setiausaha agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin, semalam menegaskan tiada lagi ruang buat mana-mana pasukan yang menarik diri untuk kembali ke kancah liga tempatan, sekaligus memberikan bayangan hukuman yang bakal diterima Sime Darby yang menarik diri selepas tujuh tahun berada dalam Liga Malaysia.

Bagaimanapun, Hamidin tidak menyatakan bentuk hukuman terhadap kelab itu, namun Hasnizam berasakan badan induk itu wajar bertegas berhubung perkara berkenaan.

"Ini satu tindakan yang tegas dan bijak daripada FAM kerana sudah ada banyak kelab sebelum ini yang menarik diri apabila berdepan masalah, terutama melibatkan kewangan dan tidak dipersetujui oleh pihak pengurusan tertinggi mereka.

"Mereka perlu digantung terus kerana akan mengganggu pembangunan bola sepak itu sendiri," kata Hasnizam.

Pada tahun 2005 dan 2006, Jawantankuasa Pertandingan Tempatan FAM menjatuhkan hukuman terhadap beberapa pasukan kelab yang menarik diri.

Antaranya adalah Public Bank, MK Land dan MPPJ, yang menyaksikan ketiga-tiga pasukan itu didenda RM50,000 dan digantung dua hingga empat tahun daripada menyertai sebarang perlawanan.

"Kita perlu mengubah dasar pemilihan serta struktur penyertaan dalam bola sepak Malaysia. Itu yang lebih penting," ujar Asmawi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen