Fikri intai peluang kesebelasan utama TRW

Oleh Farizal Yusoff 17 April 2020 177
Fikri intai peluang kesebelasan utama TRW
Penjaga gawang The Red Warriors (TRW), Mohammad Fikri Che Soh,  gigih menjalani latihan bersendirian di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi mengekalkan tahap kecergasan semasa.

Katanya, sebagai pemain profesional, dia perlu memastikan kesihatan dan kecergasan berada di tahap terbaik serta bersedia sepenuhnya jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk menyambung semula Liga Malaysia (Liga-M) selepas PKP fasa ketiga berakhir 28 April ini.

"Sepanjang PKP ini kami dibekalkan dengan modul latihan oleh barisan kejurulatihan untuk dilakukan di rumah masing-masing.

"Saya perlu peruntukkan masa hampir sejam setiap hari untuk tujuan itu dan memuatnaik video latihan kepada mereka (jurulatih) sebagai bukti.

"Biarpun agak janggal berlatih seorang diri tetapi saya perlu harungi sambil berdoa PKP ditamatkan segera supaya dapat beraksi semula di atas padang," luahnya.

Mohammad Fikri  yang juga bekas penjaga gol Perlis FA, mengakui masih mengintai peluang untuk membarisi kesebelasan utama TRW selepas tiga perlawanan awal Liga Perdana.

"Setakat ini belum ada rezeki lagi untuk turun sebagai pemain utama.

"Cabaran cukup sengit kerana setiap penjaga gol memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Namun, siapapun yang dipilih tidak penting berbanding kejayaan membantu TRW mencipta kemenangan dan memastikan gawang tidak bocor," katanya.

Kredit Foto: Kelantan FA

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen