Kegagalan mendapatkan lesen kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyaksikan Felda United terpaksa berputih mata apabila diturunkan ke saingan Liga Perdana musim
depan sementara PKNP dan Negeri Sembilan ibarat mendapat tuah apabila dinaikkan ke pentas Liga Super.


Biarpun menutup kempen di tangga ketiga Liga Super, kegagalan pihak pengurusan Felda United menghantar dokumen berkaitan aspek kewangan pada waktu ditetapkan sebelum 23 Ogos lalu, membuatkan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) tiada pilihan selain menurunkan Felda ke Liga Perdana.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, keputusan itu dicapai oleh Lembaga Pengarah FMLLP yang bertegas mahu semua pasukan mematuhi syarat ditetapkan.

Selain Felda, T-Team FC, yang akan dikenali sebagai Terengganu FC II musim depan, juga akan beraksi dalam Liga Perdana selepas permohonan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mahu menjadikan T- Team sebagai pasukan sokongan.

“Mereka telah berjaya mendapatkan lesen FAM untuk bertanding dalam saingan Liga Super. Felda gagal meraih lesen kerana gagal menyediakan dokumen-dokumen yang telah ditetapkan,” kata Kevin.

Mengenai keputusan memilih PKNP dan Negeri Sembilan secara automatik ke Liga Super, FMLLP mempunyai pendirian tersendiri kerana tidak mahu mengadakan perlawanan play-off.

Sebagai merit, Sarawak dan Pulau Pinang yang mengakhiri saingan di dua tangga tercorot Liga Super perlu diturunkan ke Liga Perdana sementara tempat mereka diisi PKNP dan Negeri Sembilan yang sudah mempunyai lesen FAM.