Pengendali Felda United, B. Sathianathan, mahu pemain skuad The Fighters kekal konsisten untuk berdepan saingan pusingan kedua Liga Perdana bermula dengan aksi berdepan MISC-MIFA pada Sabtu ini bagi memastikan misi meraih kejuaraan liga terlaksana.

Selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas UiTM FC, Jumaat lalu, Felda kini kekal selaku pendahulu liga dengan 29 mata.

Namun, Sathianathan tetap mahu pasukannya mencapai tiga mata penting ketika berdepan MISC-MIFA bagi terus menjarakkan kedudukan dengan pasukan di tangga kedua, Felcra FC, yang kini meraih 18 mata.

Bekas pengendali kebangsaan itu juga mahu pemain-pemainnya tampil dengan kekuatan mental yang ampuh kerana setiap pasukan yang mereka temui dalam Liga Perdana mahu meleburkan rekod tanpa kalah Felda dalam saingan liga.

"Kami perlu mengukuhkan kelebihan lapan mata daripada Felcra tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam pusingan kedua. Apa yang penting, kami harus kekal tanpa kalah," katanya.

Dalam masa sama, Sathianathan juga enggan memandang mudah kekuatan MISC-MIFA walaupun pasukan itu hanya menduduki tangga ketujuh liga dengan 14 mata.

Bagi pengendali berusia 60 tahun itu, kemampuan skuad bimbingan K. Devan itu meraih dua gol ketika tewas 3-2 di tangan mereka dalam aksi liga pada 1 Mei lalu membuktikan mereka pasukan yang mampu memberi cabaran.

"Selepas aksi terakhir berdepan UiTM, kami mempunyai rehat selama lapan hari. Jadi, kami harus menggunakan kelebihan itu ketika berdepan MISC-MIFA kerana mempamerkan kebangkitan sebelum kami mencatat gol kemenangan dalam aksi sebelum ini."