Felcra FC mengambil pendekatan berahsia mengenai identiti jurulatih barunya selepas timbalan presidennya, Datuk Hazian Murad, semalam sekadar mengesahkan bahawa mereka akan menggunakan khidmat jurulatih import bagi mengharungi cabaran Liga Perdana, musim depan.

Felcra mencuri tumpuan setelah diangkat ke Liga Perdana musim depan bagi menggantikan Sime Darby FC yang menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M).

Tatkala beberapa pemain ternama dikhabarkan akan menyertai pasukan itu, kedudukan jurulatih juga menimbulkan persoalan.

Sebelum ini, beberapa jurulatih tempatan dikaitkan dengan Felcra, antaranya Ismail Zakaria dan Azraai Khor Abdullah, namun pasukan itu memutuskan mahu mendapatkan nafas baru menerusi kepakaran asing.

"Bukan kami nak cakap jurulatih tempatan tidak bagus. Malah, kami berterima kasih kepada 15 jurulatih yang memohon untuk melatih Felcra FC.

"Cuma, apabila kami bersaing dalam Liga Perdana, kami tidak mahu sekadar mencukupkan kuota kerana kami mahu meraih pencapaian yang lebih baik," kata Hazian yang ditemui ketika sesi percubaan pemain baru Felda di UM Arena, semalam.

Turut kelihatan, bekas jurulatih penjaga gol Selangor, Azlisham Ibrahim, yang dijangka menyertai barisan kejurulatihan baru pasukan itu bersama Rosle Md Derus yang kekal sebagai penolong jurulatih.

"Dia (Rosle) diletakkan selaku penolong jurulatih supaya dia dapat menimba pengalaman. Mudah-mudahan pada satu hari nanti dia boleh mencurahkan ilmu dalam Liga M," tambah Hazian.