Pendatang baru Liga Perdana, Felcra FC, tampak serius untuk mengharungi cabaran musim depan apabila bakal menerapkan corak permainan samba menerusi sentuhan jurulatih dari Brazil, Tarcisio Pugliese.

Pugliese bakal mewarnai kancah bola sepak Malaysia sebagai jurulatih asing musim depan.

Menyertai Felcra FC yang dinaikkan pangkat ke Liga Perdana, jurulatih berusia 37 tahun itu sudah memulakan latihannya beberapa hari lalu.

Perkara itu didedahkan Timbalan Presiden Felcra FC, Datuk Hazian Murad, yang turut mengharapkan kehadiran jurulatih dari benua yang terkenal dengan kelincahan kawalan bola itu dapat memastikan Felcra berdaya saing untuk cabaran berbeza musim depan.

"Buat masa ini, Alhamdullilah positif dari sudut jurulatih dan pemain.

"Pugliese gembira dan ada memaklumkan kepada saya bahawa pemain memberi kerjasama dan komitmen tinggi," katanya.

Ketika perkembangan Felcra tertumpu kepada kedudukan jurulatih, pasukan itu terpalit pula dengan isu pampasan gaji bekas pemain, Azi Shahril Azmi.

Jumaat lalu, mereka diarahkan oleh Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar membayar pampasan gaji sebanyak RM65,000 kepada pemain tengah itu dalam masa 30 hari susulan penamatan kontrak secara sebelah pihak.

"Kalau perlu diselesaikan, maka kami perlu melakukannya. Tetapi, kami akan membuat rayuan kepada FAM dan kami berharap situasi menang-menang kepada semua pihak," katanya lagi.