Felcra FC, UKM FC adakan pertemuan dengan FMLLP

Oleh Penulis Jemputan 30 November 2017 864
Felcra FC, UKM FC adakan pertemuan dengan FMLLP
Pihak pengurusan Felcra FC dan Universiti Kebangsaan Malaysia FC (UKM FC) hari ini mengadakan perjumpaan dengan pentadbir Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), bagi membentangkan perancangan persediaan mereka untuk menghadapi musim pertama dalam Liga Perdana tahun depan.

Bagi Penolong Pengurus Felcra FC, Muhammad Najib Miswan, kelab itu sudah bersedia menghadapi saingan itu selepas dua musim bertanding dalam Piala FAM.

Katanya, biarpun kelab itu tampil sebagai pengganti kepada Sime Darby FC yang menarik diri, ia tidak menjadi penghalang buat Felcra mengesahkan kedudukannya dalam Liga Perdana.

Najib turut mengesahkan pucuk pimpinan kelab itu juga dalam proses menentukan stadium yang akan digunakan sebagai gelanggang sendiri musim depan.

"Pihak kami banyak membantu daripada segi persediaan pengurusan, terutama melibatkan pemain. Tahun depan adalah pengalaman pertama kami bermain dalam Liga Perdana. 

"Jadi, kami perlu banyak berhubung dengan FMLLP untuk belajar. Kalau ada masalah, kami akan berhubung terus dengan badan itu," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, turut berpuas hati dengan persiapan Felcra dan UKM dalam menghadapi liga bola sepak tahap kedua negara itu.

Katanya, persiapan kedua-dua kelab berkenaan bukan hanya merangkumi pasukan tetapi juga perancangan perniagaan dan masa depan.

"Kami nampak mereka mempunyai pelan A, pelan B. Saya rasa ada yang perlu dibincangkan secara teliti.

"Kalau ada kekurangan, FMLLP akan memberi pendapat menerusi pengalaman kami dalam beberapa tahun ini," ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen