Felcra FC menuntut penjelasan daripada Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengenai status pembelian Air Asia FC terhadap DRB Hicom FC kerana menidakkan hak mereka untuk bersaing dalam Liga Perdana 2017.

Satu slot dalam Liga Perdana kini menjadi tanda tanya selepas DRB Hicom FC sah menarik diri untuk saingan tahun depan.

Situasi dilihat bertambah rumit apabila pemilik Air Asia FC, Tan Sri Tony Fernandes, dilaporkan berminat untuk membeli keseluruhan pasukan DRB Hicom, sekali gus meraih tempat secara automatik dalam Liga Perdana.

Jika itu berlaku, ia dilihat sebagai tidak adil kepada Felcra FC kerana mereka dan Air Asia masing-masing menamatkan cabaran dalam separuh akhir Piala FAM pada musim ini.

"Jika Air Asia boleh berbuat begitu, saya melihat seolah-olah dia menidakkan hak pihak lain, pasukan-pasukan lain yang telah bermain dua atau tiga tahun.

"Seperti kami, Felcra, apa yang boleh saya katakan kami juga layak dan berhak untuk menuntut perkara yang sama.

"Saya berasa, untuk lebih adil dalam perkara ini, seelok-eloknya pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melihat kembali perkara tersebut," kata Pengurus Persatuan Bola Sepak Felcra FC, Mohd Fauzi Mohd Tahir.

Tambah Fauzi, mereka akan berjumpa dengan pihak FMLLP dalam masa terdekat untuk mengetahui pasukan mana bakal menggantikan DRB Hicom.

Jalan terbaik bagi mengisi slot yang ditinggalkan DRB Hicom ialah mengadakan aksi play-off antara Felcra dan Air Asia, yang dilihat lebih adil.

"Kami ingin mengetahui terlebih dahulu status perkara tersebut. Jika itu akan berlaku, kami mungkin akan ke saluran berkenaan. Kami memberikan pandangan kami supaya perkara tersebut tidak menjadi mudah untuk mana-mana pasukan melangkah.

"Ia perlu melalui satu tahap ke satu tahap dan perlu melepasi proses yang dilalui oleh semua pasukan."