Feichtenbeiner teruja aksi pemain muda Selangor II

Oleh Staff Writer 24 Disember 2019 848
Feichtenbeiner teruja aksi pemain muda Selangor II
Ketua jurulatih Selangor II, Michael Feichtenbeiner, menganggap tugasnya mudah untuk membentuk skuad ampuh selepas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) 'memborong' 15 pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bagi mengharungi cabaran Liga Perdana 2020.

FAS mencetus sensasi apabila menandatangani kontrak 15 pelatih AMD untuk memperkuatkan skuad Selangor II selaku kelab sokongan The Red Giants musim depan.

Antaranya penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, dan pemain tengah, Harith Haiqal Adam Afkar, serta pertahanan, Hariz Mansor.

Malah, FAS juga mendapatkan khidmat tonggak skuad B-19 negara seperti penjaga gol, Firdaus Irman Fadhil, di samping Mukhairi Ajmal Mahadi yang sebelum ini beraksi bersama PKNP FC.

Feichtenbeiner menganggap kehadiran pemain yang sudah beraksi bersama sejak usia remaja sebagai kelebihan buatnya untuk memacu Selangor II dalam Liga Perdana musim depan.

"Mereka sangat berbakat, mempunyai kelebihan daripada skuad kebangsaan, jadi saya fikir ramai pemain bagus dalam skuad ini. Namun, kami perlu buat keputusan," katanya.

Ia bukan kali pertama jurulatih kelahiran Jerman itu mewarnai kancah Liga Malaysia apabila pernah membimbing MPPJ FC selama dua musim pada 2005 dan 2006.

"Ketika ini, saya suka untuk membuatkan pemain menjadi lebih baik. Jika anda memiliki pemain muda dan mendengar nasihat, mereka boleh jadi lebih bagus. Jika Selangor suka dengan peranan saya selaku pengarah teknikal, saya gembira," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen