'Menyakitkan', itu luahan ketua jurulatih Selangor II, Michael Feichtenbeiner, dalam saingan terakhirnya bersama pasukan tersebut selepas ditundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) II 6-1 dalam aksi Liga Perdana semalam.

Biarpun meratapi kekalahan besar, Feichtenbeiner meninggalkan skuad muda berkenaan di kedudukan keenam liga selepas memulakan khidmat sejak awal musim ini.

Feichtenbeiner mengakui cuaca hujan dan keadaan padang yang licin merencatkan corak permainan barisan anak buahnya.

Selain itu, jurang pengalaman yang ketara turut menjadi penghalang buat pasukan tuan rumah memberi saingan sengit kepada JDT II.

Pemain-pemain muda Selangor II dilihat kurang motivasi selepas pasukan pelawat meraih gol keempat menerusi Fernando Rodriguez pada minit ke-48.

"Sangat menyakitkan. Ia merupakan pengajaran buat pemain-pemain muda. Kami tidak boleh mengubah corak permainan dan dengan situasa cuaca dan padang menggugat perancangan kami," katanya.

"JDT II mempamerkan aksi cemerlang ditambah dengan kehadiran pemain berpengalaman seperti Liridon Krasniqi menyaksikan sukar untuk mengekang kemaraan lawan."

Sementara itu, ketua jurulatih JDT II, Rafa Gil, berpuas hati dengan prestasi anak buahnya selepas tewas kepada Pulau Pinang minggu lalu.

Tambahnya, barisan pemain mempunyai keyakinan tinggi dalam saingan kali ini.

"Usaha yang cemerlang daripada setiap pemain. Ia merupakan peluang untuk setiap pemain mendapatkan keyakinan dan ia amat penting buat pasukan ini," katanya.