Jurulatih PDRM FC, Fauzi Pilus, sudah memiliki pelan B dengan menggunakan 100 peratus anggota polis sebagai pemain skuad itu musim depan jika gagal meraih tajaan diperlukan dalam membawa cabaran The Cops.

Fauzi, yang masih kekal dalam staf kejurulatihan PDRM, belum pasti hala tuju pasukan dengan pemilihan pemain lebih kepada dalam kalangan anggota.

Buat masa ini, seramai 10 pemain tempatan dikekalkan, termasuk ketua pasukan, Fauzi Majid, selain dijangka mendapatkan beberapa pemain yang memilih karier sebagai anggota polis.

Namun, Fauzi masih mempertimbangkan untuk menggunakan pemain profesional kerana ia boleh menjadi nilai tambahan penting kepada PDRM memberi cabaran dalam Liga Perdana.

"Kami memulakan dengan langkah mengumpul pemain daripada kalangan anggota serta melihat beberapa penaja yang mungkin akan masuk. Jadi, kami juga cuba mencari pemain yang baru menyertai polis," katanya.

Sementara itu, Fauzi memberi galakan pemain daripada skuad Piala Presiden dan Belia untuk menyertai badan beruniform itu jika mahu memastikan masa depan mereka lebih terjamin.

Bukan sahaja diserap selaku anggota PDRM tetapi boleh meneruskan karier mereka dalam dunia bola sepak.

"Saya menggalakkan semua pemain yang berada di luar sana untuk memilih pasukan polis. Kami akan kumpul seberapa ramai yang mungkin demi membolehkan mereka menjadikan bidang polis sebagai satu jaminan masa depan sambil terus bermain bola sepak," tambah Fauzi.