Jurulatih PDRM, Fauzi Pilus, mahu mengelak daripada menjadikan pasukannya selaku pilihan utama dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana musim 2017.

PDRM terpaksa turun pangkat ke Liga Perdana selepas bergelut dalam zon penyingkiran Liga Super 2016.

Bertekad ingin bangkit semula, Fauzi menyasarkan untuk memastikan skuad Sang Saka Biru kembali ke kancah peringkat tertinggi itu pada 2018.

"Insya-Allah, kami tidak berani hendak melabelkan pasukan ini tetapi saya telah diamanahkan untuk membawa PDRM kembali ke Liga Super," jelasnya.

Dalam pada itu, Fauzi berpuas hati dengan kelancaran persiapan pasukannya untuk menghadapi musim baharu.

PDRM menjadi antara pasukan terawal untuk memuktamadkan pengambilan pemain import selepas mengikat bekas penyerang Kuantan FA, Dao Bakary, serta Frederic Pooda yang mewakili Sime Darby sebelum ini.

Selain itu, PDRM turut mengekalkan khidmat tonggak dari Singapura, Safuwan Baharuddin, di samping pemain pertahanan, Souleymane Konate.

Menurut Fauzi, keputusan Safuwan untuk kekal bersama PDRM amat melegakan selepas menyedari pemain itu turut mendapat beberapa tawaran daripada pasukan lain sebelum ini.

"Kami lihat perwatakan Safuwan begitu profesional. Saya sebenarnya bersyukur kerana Safuwan masih mahu berkhidmat bersama PDRM," tambahnya.