Faridzuean ucap selamat tinggal

Oleh Farizal Yusoff 13 November 2018 12641
Faridzuean ucap selamat tinggal
Penjaga gol utama The Red Warriors (TRW), Mohamad Faridzuean Kamaruddin, mengesahkan tidak akan bersama pasukan itu dalam saingan Liga Perdana, musim depan. 

Faridzuean, yang beraksi cemerlang membantu Kelantan muncul naib juara Kumpulan C dan layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini, mengambil keputusan berhijrah ke Lembah Klang.

"Rundingan sudah dilakukan dengan tiga pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang. Semuanya beraksi dalam Liga Super musim depan dan kini hanya tunggu masa untuk proses selanjutnya.

"Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) juga ada mengemukakan tawaran dan meminta saya untuk terus kekal bersama TRW, namun selepas mempertimbangkannya, saya rasa inilah detik terbaik untuk berhijrah dan mengembangkan lagi bakat yang ada," katanya.

Faridzuean, yang juga bekas penjaga gawang ketiga Melaka United merakamkan ucapan terima kasih kepada KAFA yang telah memberi peluang kepadanya untuk menyarung jersi Kelantan musim ini.

"Terima kasih presiden (Bibi Ramjani) dan seluruh pengurusan KAFA kerana sudi memberikan peluang kepada saya beraksi untuk Kelantan. Saya menghargai setiap minit yang diberikan. Terima kasih kepada semua yang terlibat," katanya.

Untuk rekod, anak kelahiran Kampung Padang Enggang, Kota Bharu itu dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua musim ini selepas KAFA membuat keputusan berani melepaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, kepada Melaka United.

Kehadiran Faridzuean berjaya menambat hati ketua jurulatih, Yusri Che Lah, sehingga diberikan kepercayaan sebagai benteng terakhir TRW sampailah perjuangan Kelantan berakhir di tangan Sabah dalam saingan suku akhir Piala Malaysia musim ini.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen