Penjaga gawang The Red Warriors (TRW), Mohamad Faridzuean Kamaruddin, gigih menjalani latihan bersendirian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi mengekalkan prestasi semasa.

Sebagai pemain profesional, dia sedar perlu memastikan kesihatan dan kecergasan berada di tahap terbaik serta bersedia sepenuhnya jika Liga Malaysia disambung semula selepas PKP fasa kedua berakhir 14 April ini.

"Ketua jurulatih (Yusri Che Lah) sentiasa memantau kecergasan semua pemain dan bekalkan kami dengan modul latihan sepanjang PKP.

"Saya perlu disiplinkan diri setiap hari dan wajib luangkan masa hampir 90 minit untuk ikuti modul yang dibekalkan," ujarnya.

Faridzuean yang juga bekas penjaga gol Melaka dan Kuala Lumpur mengakui masih belum berpuas hati dengan prestasi semasanya yang sudah melepaskan tiga gol dalam aksi awal Liga Perdana.

"Saya akan terus berusaha bagi memastikan gawang Kelantan kebal dan tidak mudah dibocori penyerang pasukan lawan.

"Kekalahan terakhir 2-1 kepada pendahulu liga, Terengganu FC II sepatutnya memberi isyarat kepada semua pemain berusaha lebih gigih untuk memburu sasaran Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) layak ke Liga Super musim depan," tambahnya.

Faridzuean yang baru melangsungkan perkahwinan bersama cinta hatinya, Zizie Norfazeera Zamri, bulan lalu berharap semua peminat bola sepak mematuhi arahan daripada kerajaan untuk bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19.

"Rindu nak beraksi di atas padang bola semula tetapi sebelum itu kita semula harus menyokong segala arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan sepanjang musim PKP ini," katanya.

Kredit Foto: Kelantan FA