FAP tampil 80 peratus muka baru kendali musim 2019

Oleh Bernama 6 Oktober 2018 2254
FAP tampil 80 peratus muka baru kendali musim 2019
Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akan menampilkan 80 peratus muka baru bagi mengendalikan beberapa pasukan negeri ini bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2019.

Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah, berkata pelantikan baru tersebut diputuskan melalui sebuah jawatankuasa teknikal dan pemilihan yang terdiri daripada barisan pengurusan pasukan.

"Kesemua mereka akan mengemudi pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia," katanya dalam sidang media di Georgetown, semalam.

Beliau berkata, bekas jurulatih Terengganu, Ahmad Yusoff, dipilih untuk membimbing skuad Liga Perdana dan dibantu bekas pemain Harimau Kumbang, Manzoor Azwira Abd Wahid, manakala muka baru, Ong Eng Hua, sebagai pengurus pasukan.

"Bagi musim depan, kami menyasarkan untuk berada di tangga lima teratas, terutama dalam Liga Perdana," katanya. 

Dr Amar turut memaklumkan bahawa sesi pemilihan pemain bagi musim 2019 adalah dari 9 hingga 15 Oktober ini di Padang Polo Georgetown, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

"Saya menyeru semua peminat bola sepak Pulau Pinang untuk terus menyokong pasukan supaya dapat mengembalikan kegemilangan arena bola sepak negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Amar turut menyatakan kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membiayai segala keperluan dan pembangunan untuk ketiga-tiga liga tersebut.

"Walaupun kami hantar bajet RM8 juta (kepada kerajaan negeri), namun RM5 juta ini sangat membantu. Malah, kami turut berusaha untuk mencari penaja demi pembangunan bola sepak Pulau Pinang," katanya yang turut mengesahkan isu tunggakan gaji pemain akan dilunaskan sebelum Liga M 2019 bermula.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen