FAP sedia lengkapkan proses penswastaan kelab 

Oleh Bernama 16 Julai 2020 84
FAP sedia lengkapkan proses penswastaan kelab 
Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) sudah bersedia untuk melengkapkan proses pemisahan status sebagai persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

Menurut Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah,  proses penswastaan itu memberi sedikit kegusaran kerana badan induk itu perlu mengenal pasti kebolehupayaan sesebuah kelab bola sepak sebelum melakukan proses pemisahan status.

"Saya memang risau (proses pemisahan status FA kepada FC), tapi oleh kerana ia diwajibkan (oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)) selain mengurangkan beban kewangan kepada negeri, kami akur.

"Dalam pada itu, sebelum kami berhijrah ke kelab (FC), kami kena lihat latar belakang sesebuah kelab, penglibatannya (menerusi perlawanan) di mana-mana negara termasuk kredibiliti kelab itu sendiri. Itu juga perlu diambil kira," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) FAP di George Town, malam tadi.

Tambahnya, FAP perlu melengkapkan proses pemisahan itu sebelum tarikh akhir September depan bagi membolehkan pasukan menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim 2021.

 

MESYUARAT AGUNG LUAR BIASA PERSATUAN BOLASEPAK PULAU PINANG. Gambar-gambar yang sempat dirakam sekitar Mesyuarat Agung...

Posted by FA Penang on Wednesday, July 15, 2020


"Di samping itu, dalam memastikan pihak yang terlibat khususnya (pemain) warga tempatan di kelab dilindungi, kami akan menubuhkan satu jawatankuasa khas," katanya.

Amar Pritpal berkata penswastaan kelab dilihat mampu memperbaiki aspek pengurusan selain antara alternatif terbaik kepada kemelut kewangan dihadapi pasukan itu sehingga menjejaskan proses pembayaran gaji pemain akibat kebergantungan terhadap dana kerajaan negeri.

Terdahulu, dalam mesyuarat itu juga, FAP bersetuju melantik Datuk Seri Suppiah Manikam sebagai Pengamanah FAP yang baru setelah jawatan itu tidak terisi sejak tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Amar Pritpal turut menjelaskan isu gaji pemain skuad Harimau Kumbang yang dilaporkan tertunggak sejak tiga bulan lalu, iaitu April, Mei dan bulan lalu akan diselesaikan dalam minggu ini.

Sebelum ini, isu bayaran gaji pemain skuad itu yang tertunggak tular di laman sosial sehingga memberi gambaran negatif terhadap persatuan bola sepak berkenaan yang didakwa mengalami masalah kewangan serius.

-- BERNAMA

 

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen